MENU

Sepintas Lalu Sejarah Segamat

Pada kurun ke 16 Masehi, Sultan Ahmad dan pengikut-pengikutnya telah meninggalkan Melaka kerana diserang oleh pihak Portugis lalu bertapak di Pagoh. Setelah diserang di Pagoh mereka telah berundur dengan tujuan ke Penarikan dan kemudiannya ke hilir Pahang. Dalam perjalanan ke Penarikan di pertengahan jalan, di tepi lubok sungai, di sepohon kayu besar, Datuk Bendahara Paduka Tuan duduk bersandar di banir kayu menghadap lubuk yang dihadapannya, Sultan Ahmad dan Ayahandanya tidak jauh dari situ, mereka bersama-sama berhenti penat dan berehat selama dua hari.

Sambil duduk, Datuk Bendahara melempar-lempar tangan membuang kebas lalu tercapai olehnya seketul batu lalu ditimang-timangnya. Sambil mukanya berkedut kesal, dirinya berkata "Dahaga rasanya aku, ambilkan air barang seteguk di sungai itu". Sambil berkata ia memandang Selamat Gagah. Selamat Gagah faham bahawa yang dimaksudkan ialah supaya mengambil air sungai itu lalu dicarikannya upih lalu dibuatnya temika. Kemudian diceduknya air hingga penuh lalu diberikan kepada Datuk Bendahara. Sambil tangannya menyambut temika air, batu di tangan dilontar ke lubok sungai, katanya di dalam hati, "Kalau timbul batu itu, baliklah aku ke Melaka". Mendengarkan kata Datuk Bendahara demikian Sultan Ahmad menoleh Datuk Bendahara dengan pandangan yang bererti, tetapi Sultan tidak mengeluarkan sepatah kata pun.

Air di temika diminum sepuas-puasnya oleh Datuk Bendahara, air itu jernih lagi sejuk, "SEGAR AMAT" ku rasa badan ini, sungguh lazat diminum, apakah nama sungai ini Selamat?". "Tidak hamba ketahui, kerana baru sekali ini bersua." "Ya, SEGAR AMAT, ku rasa seolah-olah tenagaku pulih semula." Kata Datuk Bendahara. "Ya, SEGAR AMAT, sungai ini jika airnya di minum." Kata mereka serentak yang meneguknya. "Ya, SEGAR AMAT".

Demikian mulakan Segamat bernama Segamat, hingga datang sekarang disebut orang.

Segamat Sebuah Negeri

Buyong Adil di dalam bukunya Sejarah Alam Melayu Penggal V menulis bahawa Segamat adalah sebuah negeri daripada 9 buah negeri yang dikatakan Negeri Sembilan hasil daripada peristiwa di atas. Martin Lister, British Resident Negeri Sembilan pada tahun 1895 - 1897 juga telah menyebutkan Segamat adalah sebuah daripada negeri yang dikatakan Negeri Sembilan masa dahulu yang dikuasai oleh Temenggong Abd. Rahman dan melantik Temenggong Konit untuk mentadbirkan Segamat / Muar mulai tahun 1801.

Pautan Laman