MENU

APABILA membincangkan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, pencemaran sungai antara isu penting yang kerap diberi perhatian umum khususnya pada seminar atau persidangan berkaitan alam sekitar di pentas antarabangsa dan nasional. Isu pencemaran sungai sering dikaitkan dengan tahap kesedaran masyarakat dan kaedah pengurusannya.

Secanggih mana pun sistem dan teknologi digunakan untuk memulihara sungai, tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sungai mesti ditingkatkan kerana penyebab pencemaran sungai ialah manusia sendiri.

Kerakusan masyarakat dengan menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah sarap, sajian sisa kumbahan ternakan, bahan buangan industri dan sisa pertanian menyebabkan secara tidak langsung kos rawatan air turut ditanggung pengguna.

Natijahnya, kita menghadapi kemusnahan kualiti air sungai yang serius kerana pencemaran sungai mendatangkan kesan besar terhadap kehidupan manusia, terutama apabila sumber air yang dibekalkan kepada pengguna sukar dirawat. Hatta ada kes pencemaran ammonia boleh terlepas hingga ke paip dapur rumah kita.

Pencemaran sungai juga menimbulkan masalah lain seperti merebaknya penyakit dan musnahnya ekosistem akuatik. Kita selalu dipaparkan penderitaan rakyat di negara dunia ketiga yang tidak mempunyai sistem bekalan air cekap dan sistematik menyebabkan mereka sering diancam wabak penyakit sehingga membawa kematian.

Lebih 1.5 juta kanak-kanak di dunia maut setiap tahun akibat pembuangan dua juta tan sisa kumbahan, toksik dan sampah sarap ke dalam sungai. Menyedari air amat penting dalam menentukan kelangsungan hidup manusia dan menjaga sungai adalah sebahagian tanggungjawab yang perlu diberi keutamaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan 22 Mac setiap tahun sebagai Hari Air Sedunia untuk mengajak masyarakat sejagat supaya menghargai air.

Kita mesti ingat air antara unsur terpenting mengimbangi kehidupan manusia di dunia. Walaupun tiga per empat bumi ini diliputi air dan satu per empat daripadanya daratan, 97 peratus daripada air itu adalah air masin (air laut) dan tidak boleh digunakan untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hanya kira-kira 0.6 peratus air di bumi ini untuk keperluan hidup manusia dan pada masa sama, ia dikongsi bersama haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kita bertanggungjawab memastikan hak kelestarian generasi akan datang untuk menikmati bekalan sumber air bersih dan berusaha meminimumkan impak terhadap sungai. Dalam membentuk keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan sungai, program pendidikan dan penghayatan etika alam sekitar mesti didedahkan pada peringkat generasi muda untuk membentuk kecintaan, sikap dan perilaku mereka bagi memelihara, memulihara dan menghayati kepentingan alam.

Sumber : Berita Harian

Pautan Laman