MENU

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) akan menganjurkan larian dan sukan pada hujung bulan ini dan awal bulan depan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor yang ke-52.

Penolong Pengarah MSNJ, Zahar Zakaria berkata, acara larian itu dijangka disertai lebih 1,000 peserta dari seluruh negeri dan dimulakan Ahad ini di Dataran Bandaraya di sini.

"Larian akan bermula pukul 4 petang dan berakhir pukul 6 petang di dataran yang sama. Jarak larian adalah sejauh 10 kilometer di sekitar dataran berkenaan.

"Sementara itu, acara sukan pula akan diadakan di empat tempat di Johor Bahru dan Kulaijaya dari 3 hingga 5 Disember ini," katanya semasa ditemui pada Program Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor di Padang Seri Gelam di sini semalam.

Katanya, sebanyak empat permainan disediakan iaitu sepak takraw, futsal, bola jaring dan bola keranjang dengan penyertaan kira-kira 3,500 orang dari dua daerah itu.

Permainan sepak takraw bermula di Inderapura pada 3 Disember, Kulaijaya dan dijangka perasmiannya oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, sehari selepas itu diadakan futsal di Sport Prima, Pandan, di sini dan bola jaring serta bola keranjang di TJ Mart, Kulaijaya pada hari terakhir.

Menurutnya, seramai 3,500 peserta yang terdiri daripada 56 Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) dari kedua-dua daerah berkenaan akan terlibat.

Zahar berkata, larian dan sukan itu dianjurkan untuk menggalakkan orang ramai bersukan selain bersama-sama meraikan hari tersebut.

Mengenai program hari ini yang dihadiri hampir 1,000 pengunjung, beliau berkata, dua jenis sukan dipertandingkan iaitu bola jaring dan bola sepak.

Sebanyak 32 pasukan bola sepak dan 16 pasukan bola jaring terlibat dan program itu yang merupakan pertama kali dianjurkan di bandar raya ini.

"Penyertaan adalah daripada pelbagai peringkat umur dan lapisan kaum iaitu pelajar sehinggalah kakitangan kerajaan dan swasta dari sekitar Johor Bahru," katanya.

Pautan Laman