MENU

JOHOR BAHRU 21 April - Sejumlah 3,000 jawatan kosong ditawarkan kepada orang ramai bersempena Ekspo Kerjaya Iskandar Malaysia (IMCE) 2010 yang berlangsung di Danga City Mall pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Strategik dan Pembangunan Sosial, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Nor Hisham Hussein berkata, 50 syarikat dan organisasi, agensi kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat swasta terlibat dalam ekspo berkenaan.

Katanya, bertemakan 'Peningkatan kerjaya, memperkaya komuniti', peluang kerjaya yang ditawarkan adalah daripada pelbagai peringkat jawatan iaitu di peringkat bawahan sehingga ke peringkat tertinggi.

Ujar Nor Hisham lagi, tawaran kekosongan jawatan tersebut berdasarkan sembilan kelompok ekonomi di Iskandar Malaysia antaranya perkhidmatan kewangan, logistik, pendidikan, industri kreatif, pelancongan, kesihatan, petrokimia, kimia oleo, pemprosesan agro dan makanan.

"IMCE adalah salah satu daripada inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu memadankan pekerjaan bagi majikan dan pencari kerja di Iskandar Malaysia.

"Ia juga selari dengan inisiatif yang dicadangkan menerusi Rangkaian Tindakan Modal Insan Iskandar Malaysia.

"Usaha seperti ini juga berupaya menyokong aktiviti yang disasarkan bagi kejayaan pembangunan di Iskandar Malaysia," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Nor Hisham berkata, IMCE turut menganjurkan beberapa siri ceramah yang akan disampaikan oleh pihak yang berpengalaman dalam industri yang terdapat di Iskandar Malaysia antaranya mengenai cara penulisan resume, bagaimana membina kerjaya yang berjaya dan tips ketika temuduga.

Selain itu, katanya, terdapat sesi kaunseling mengenai kerjaya yang disasarkan kepada graduan bagi membantu mereka mengenali dan menangani kebimbangan dalam menempuh alam pekerjaan.

"IMCE turut menawarkan mereka yang berpengalaman peluang kerja yang lebih baik dan juga memberikan mereka ruang untuk meneroka peluang pekerjaan lain.

"Oleh itu, kita berharap orang ramai tidak melepaskan peluang ini kerana ia banyak memberikan manfaat kepada mereka," katanya.

Ujarnya, program tersebut akan dirasmikan oleh ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed.

Katanya lagi, orang ramai terutama mereka yang sedang mencari pekerjaan dijemput datang ke ekspo tersebut akan bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang dan yuran kemasukan adalah percuma.

Untuk prapendaftaran, jelasnya, orang ramai boleh melayari http://jobmalaysia.gov.my atau menghubungi 07-2333054 atau emel kepada hcb.po@irda.com.my untuk maklumat lanjut.

Sumber : Utusan Malaysia Online
Tarikh : 21 April 2010

Pautan Laman